My VVIP members

Ahad, 11 September 2011

11 September @ 16 september?


Memperingati Sabra dan Shatilla pada 16 September


Bagi umat manusia di seluruh dunia dewasa ini, tarikh 11 September merupakan tarikh yang mempunyai signifikasinya yang tersendiri. Tarikh itu juga merupakan tarikh yang telah mengubah landskap politik dunia, lebih-lebih lagi kepada dasar luar Amerika.


Sayangnya tarikh yang hampir serupa dengan tarikh tersebut dan juga mengandungi tragedi yang hampir pilu seperti peristiwa 11 September itu tidak pula dipedulikan dunia, malah ianya majhul dari pengetahuan ramai. Tarikh tersebut ialah 16 September, apa yang berlaku ?, peristiwa berdarah Sabra dan Shatilla di Beirut, Lubnan.

Peristiwa yang menyaksikan pembunuhan lebih 3000 orang awam rakyat Palestin yang mendiami kem pelarian Sabra dan Shatilla (menurut laporan rasmi oleh Amon Kapeliouk, seorang wartawan Israel yang terkenal, namun pihak tentera Israel hanya melaporkan 700 hingga 800 nyawa sahaja, laporan rasmi Palang Merah antarabangsa pula menyebutkan 2,400 pada 22 September 1982). Peristiwa itu berlaku pada tahun 1982. Ianya merupakan satu tindakan keganasan yang tidak pernah terbayang akan dilakukan oleh manusia yang berakal, apatah lagi oleh sebuah kerajaan. 
Bagi Sami Hadawi, seorang pakar sejarah, beliau menyifatkan apa yang berlaku di Sabra dan Shatilla itu hanyalah pengulangan terhadap banyak lagi kegansan oleh rejim Israel, terutamanya peristiwa Deir Yassin pada tahun 1948.

Jika pihak Amerika menunding jari ke arah Osama Ben Laden dan rangkaian al-Qaedahnya di atas serangan 11 September tanpa sebarang bukti yang kukuh dan meyakinkan. Peristiwa penyembelihan rakyat Palestin di Sabra dan Shatilla pula tiada keraguan lagi bahawa tentera rejim Zionis Israel di bawah pimpinan menteri pertahanannya Ariel Sharonlah yang melakukannya. Tiada siapa yang dapat menafikan pihak Israellah yang melakukan jenayah tersebut dengan kerjasama kumpulan radikal kumpulan Phalangist yang terdiri daripada kumpulan Kristian Maronite melalui Kataib (komando) mereka dan juga kumpulan militan kristian al-Haddad.(Walau bagaimanapun Dr Ang Swee Chai di dalam bukunya “From Beirut to Jerusalem” mempunyai teorinya yang tersendiri. Beliau, sebagai saksi terhadap peristiwa tersebut beriman bahawa pihak Israel yang 100% terlibat dalam penyembelihan tersebut dan hanya menggunakan identiti Maronites dan Haddan. Teori ini dilihat bertentangan dengan pengakuan para mangsa penyembelihan tersebut dalam buku “Ku warnakan salji hitam” tulisan Dr. Alijah Gordon).
Jika Osama diberikan label pengganas di atas jenayah yang tidak pasti samada beliau terlibat atau tidak, mengapa Ariel Sharon tidak pula dinobatkan dengan “pangkat” yang sama?, mengapa kerajaan Zionis Israel juga tidak diberikan darjat seperti itu juga?, lebih menarik tiada apa tindakan di peringkat antara bangsa dikenakan ke atas mereka. Yang pastinya Saddam dan Ben Laden merupakan orang yang rugi di kaca mata orang Yahudi kerana tidak dilahirkan sebagai seorang Yahudi, dan tidak membunuh di atas nama mempertahankan keselamatan negara Israel. Jika tidak, pasti mereka tidak akan digelar sebagai pengganas.
Jika pihak Amerika menggembar-gemburkan kematian hampir 4000 orang awam mereka pada 11 September, bagaimana pula dengan 3000 (atau 2,400) rakyat Palestin di kem pelarian Shatilla pada 16 September 1982?, bukankah yang terkorban itu kanak-kanak, wanita yang lemah dan orang-orang tua yang tidak berdaya. Lebih dahsyat lagi mereka dibunuh ketika berada di dalam rumah mereka sendiri, di dalam perjalanan ke sekolah, ketika sedang dalam perjalanan ke kedai, malah ada yang dibunuh ketika sedang berada di dalam tandas-tandas awam. Kecualilah jika dunia bersetuju dengan kenyataan Israel bahawa mereka hanya membunuh para”pengganas” PLO dan bukannya orang awam (yang ajaibnya, dunia jelas menjadi saksi kepada gambar-gambar anak kecil, wanita dan warga tua yang dibunuh bergelimpangan di tengah jalan).

Jikalaulah Majlis Keselamatan PBB boleh mengeluarkan ketetapan 1373 dalam persidangannya yang ke-3485 pada 28 September sejurus selepas peristiwa 11 September, mengapa tiada ketetapan yang seumpamanya diluluskan selepas 16 September 1982?
Ketetapan yang telah memberikan AS sepenuhnya kuasa untuk menjajah mana-mana tempat di muka bumi ini di atas alasan memerangi keganasan itu telah digunakan sebaiknya oleh mereka. Siapa yang paling beruntung ?, sudah tentunya Israel yang pastinya dengan mudah mengarahkan AS untuk melumpuhkan mana-mana negara yang mereka anggap sebagai ancaman terhadap keselamatan rakyatnya.
Dosa Israel di Sabra dan Shatila dengan mudah dilupakan dunia. Jika Afghanistan dan Iraq dihancurkan di atas panji melawan keganasan dan menegakkan keadilan, mengapa Israel tidak menikmati nasib yang sama dari dulu lagi? Hanya AS dan juga pemimpin-pemimpin negara-negara Arab sahaja yang layak menjawabnya. Bukankah kerana Shatilla Sharon telah mendapat gelaran ?The Butcher of Beirut?. Bagaimana tidak, gambar ratusan kanak-kanak yang dikorek mata, dirobek perut dan di potong anggota-anggota badannya hasil pembantaian tersebut telah cukup menjadi saksi. Gambar mayat-mayat wanita yang dirobek perutnya, dibogelkan dan di gantung di tengah jalan juga sudah cukup untuk rejim Israel sepatutnya dikenakan tindakan yang 200 kali ganda lebih berat dari apa yang menimpa rakyat Afghanistan yang tidak berdosa.

Jika Slobodan Milosevic (mantan presiden Serbia) boleh dihadapkan ke mahkamah kerana darah rakyat Bosnia, Saddam kerana darah rakyat Iraq dan sebelum mereka aparat-aparat Nazi di Nuremberg, mengapa tidak Sharon?
Tiadakah negara-negara Islam yang berani untuk menghadapkan Sharon ke muka pengadilan?, bukan hanya Sabra dan Shatila, malah Baitul Maqdis lewat 28 September 2000, Jenin 2003, Tebing Barat 2003, Refah 2004, Syeikh Ahmad Yassin, Dr. A. Aziz al-Rantisi dan ribuan lagi rakyat Palestin yang menjadi mangsa insan yang digelar sebagai “Bull Dozer” oleh rakyat negaranya sendiri.
Apa yang berlaku di dunia Ini amat sukar difahami. Tiada siapa yang dapat menyelesaikan kerumitannya. Yang pasti umat Islam akan terus menjadi mangsa keadaan berdasarkan nafsu hegemoni kuasa uni-polar AS dan yang pasti juga ramai umat Islam yang lebih mengenali igauan 11 September dari kecelakaan 16 September …
oleh Maszlee Malek (kolumnis Palestinkini)
http://palestinkini.info/?p=189

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Saya