Manis kahwin enam bulan
KUALA LIPIS: Seorang isteri muda baru enam bulan berkahwin ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila lehernya dikelar dan tubuhnya ditikam beberapa kali di rumahnya di Bukit Betong, di sini, petang kelmarin.
Mayat mangsa, Nornadia Abu Bakar, 21, ditemui terbaring berlumuran darah di dapur rumah oleh suaminya, Ahmad Khairu Ab Raman, 27, sejurus pulang daripada menoreh getah kira-kira jam 5.40 petang.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, polis percaya pembunuhan itu tidak bermotifkan rompakan kerana barang kemas mangsa tidak hilang, namun polis masih mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa bersendirian di rumahnya manakala suaminya keluar bekerja menoreh getah.
“Sebaik tiba di rumah, si suami memanggil mangsa beberapa kali, namun tiada sahutan sebelum terkejut apabila menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah di dapur,” katanya.
Menurutnya, suami mangsa menghubungi Balai Polis Padang Tengku, dekat sini, untuk memaklumkan kejadian berkenaan, kira-kira jam 6 petang kelmarin.
“Mangsa dipercayai mati beberapa jam sebelumnya. Siasatan mendapati leher mangsa bukan saja dikelar malah tubuhnya turut ditikam beberapa kali dengan senjata tajam oleh penyerang dipercayai lebih daripada seorang,” katanya.
Abdul Razak berkata, hasil soal siasat dan keterangan suami mangsa, polis menahan empat lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Kuala Lipis (HKL), pagi semalam. Metro online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan